Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Morib DUN pertama di Selangor sedia PPV bergerak, tumpu pedalaman

SHAH ALAM, 20 JUN: Sebuah kenderaan pacuan empat roda menjadi pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak pertama di negeri ini bagi membantu mempercepat usaha mencapai imuniti kelompok.

Kemudahan disediakan hasil kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib.

Ahli Dewan Negeri Morib Hasnul Baharuddin berkata PPV bergerak akan memudahkan orang ramai menerima suntikan vaksin khususnya warga emas dan pesakit terlantar di rumah.

“Saya berterima kasih kepada PKD Kuala Langat kerana menjayakan pelaksanaan inisiatif ini di DUN Morib bagi meningkatkan jumlah penduduk yang divaksin.

“Semoga dengan usaha ini dapat mengurangkan kes Covid-19 dan DUN Morib kembali ke zon hijau,” katanya yang turut melancarkan PPV terbabit di Klinik Kesihatan Bandar, Banting semalam.

Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor menambah individu yang memerlukan kemudahan tersebut boleh menghubungi penyelaras DUN atau wakil rakyat kawasan masing-masing untuk pengumpulan senarai nama sebelum diproses oleh PKD.

Jelas Hasnul, keutamaan diberi kepada penduduk di kawasan pedalaman, perkampungan Orang Asli dan lokaliti yang mencatat kluster Covid-19 tinggi.