Categories
PBT SELANGOR

MPSepang kompaun individu langgar SOP PKP

SHAH ALAM, 29 JUN: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mengeluarkan kompaun kepada individu dalam kawasan badan pengurusan bersama (JMB) sebuah pangsapuri di Cyberjaya kerana gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Yang Dipertua Dato’ Abd Hamid Hussain berkata operasi pematuhan SOP dilaksana dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan membabitkan pengurusan strata di daerah berkenaan pada 23 Jun lalu.

“Hasil daripada operasi tersebut, kita mengenakan kompaun RM1,500 kerana individu terbabit gagal mematuhi surat kelulusan operasi syarikat dan melanggar had jumlah kebenaran pekerja hadir seperti yang diarahkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

“Operasi ini bertujuan memastikan JMB dan Perbadanan Pengurusan (MC) strata mematuhi SOP antaranya tidak memalsukan dokumen, menyediakan cecair pembasmi kuman, memastikan pengurusan harta bersama seperti kolam renang, gym dan dewan tidak operasi,” katanya dalam kenyataan.

Abd Hamid berkata sebelum ini pihaknya menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di 60 kawasan strata dan mendapati mereka mematuhi SOP namun hanya segelintir ditegur bagi menambah baik.

“Bagaimanapun, kita terus memantau skim strata ini sepanjang tempoh PKP bagi memastikan agensi terlibat mematuhi SOP pengurusan yang ditetapkan,” katanya.