Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN: Tamatkan darurat 1 Ogos, terbukti gagal bendung wabak

SHAH ALAM, 25 JUN: Pakatan Harapan (PAKATAN) kekal dengan pendiriannya supaya darurat ditamatkan selepas 1 Ogos depan kerana tidak berkesan mengekang penularan Covid-19.

Majlis Presidennya berkata malah keadaan pandemik semakin meruncing dan bertambah teruk sejak darurat diisytihar pada 11 Januari lalu dengan jumlah kes positif serta kematian harian kekal tinggi.

Katanya, wakil PAKATAN dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat akan menegaskan tiga perkara dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang terakhir pada Julai depan iaitu:

● Menjunjung titah pandangan Raja-Raja Melayu berhubung isu darurat
● Menerima bukti sains dan data bahawa darurat tidak memberi kesan kepada usaha pengawalan pandemik Covid-19
● Menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk tidak melanjutkan darurat selepas 1 Ogos

“Jawatankuasa Khas Bebas Darurat juga akan tamat fungsinya dan terbubar selepas 1 Ogos,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pada 16 Jun lalu, Raja-Raja Melayu bertitah tiada lagi keperluan melanjutkan tempoh darurat selepas ia berakhir pada 1 Ogos nanti.

Keputusan itu antara tujuh perkara yang sependapat dicapai oleh Raja-Raja Pemerintah dalam Persidangan Khas bersama Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada hari yang sama.