Categories
AGENDA BERITA UTAMA SELANGOR

Pameran Penerbangan Selangor 2021 dianjak ke November

SHAH ALAM, 22 JUN: Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2021 yang dijadual berlangsung pada Ogos ini akan dianjak ke 25 hingga 27 November, umum Invest Selangor Berhad (Invest Selangor).

Agensi penggalakan pelaburan asing dan domestik itu memaklumkan penjadualan semula pameran berikutan sekatan pergerakan susulan keadaan semasa wabak Covid-19 di negara ini.

“Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penangguhan SAS 2021 ini adalah usaha berjaga-jaga bagi memastikan pameran diadakan selamat kepada semua peserta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pameran julung kali itu sepatutnya berlangsung pada 12 hingga 14 Ogos di Skypark Subang dengan menyasarkan sebanyak 30 pempamer serta 5,000 pelawat.

Pada 30 Oktober tahun lalu, Dato’ Menteri Besar berkata SAS 2021 mengalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan menyediakan platform kepada syarikat tempatan serta usahawan industri kecil dan sederhana meneroka bidang itu.

Amirudin berkata inisiatif itu seiring sasaran Selangor sebagai pemain utama aeroangkasa menjelang 2030.

Usaha itu diperkukuh menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Aeroangkasa yang dikendalikan Pejabat Koordinasi Industri Angkasa Selangor Darul Ehsan (S-DAICO).