Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PeBS disaran anjur program dekati generasi muda, golongan bermasalah

SHAH ALAM, 10 JUN: Penggerak Belia Selangor (PeBS) disaran menganjurkan pelbagai program sebagai usaha mendekati seluruh masyarakat terutama generasi muda.

EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata ahli PeBS memegang tanggungjawab besar kerana dianggap sebagai wakil pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Jadi hubungan dengan masyarakat perlu libatkan pelbagai sudut. Program dijalankan harus menyeluruh serta tertumpu kepada semua termasuk golongan bermasalah.

“Semua peringkat sama ada B40 (berpendapatan rendah), M40 (kumpulan pertengahan) dan T20 (berpendapatan tinggi) perlu didekati. PeBS mempunyai hala tuju dan teras tersendiri,” katanya pada Program Doa Buat Selangor secara dalam talian malam tadi.

Program itu dianjurkan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor dengan kerjasama PeBS Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa dan Pertubuhan Legasi Selangor.

Mohd Khairuddin turut menyarankan ahli PeBS diberi peluang mengisi kekosongan jawatan pada mana-mana portfolio jawatan kuasa tetap Kerajaan Selangor.

“Ini membolehkan mereka memberi maklumat tepat kepada seluruh masyarakat,” katanya.