Categories
AGENDA SELANGOR

Pelanggan batal tempahan jubah konvokesyen, pendapatan tukang jahit terjejas

SHAH ALAM, 18 JUN: Pandemik Covid-19 yang melanda negara hingga pelbagai peraturan diperketat seperti larangan perhimpunan beramai-ramai memberi kesan kepada perniagaan seorang tukang jahit jubah konvokesyen.

Mariam Hassan, 41, berkata tempahan berkurangan selain dibatal pelanggan menjejaskan pendapatan bulanan yang kebiasaan mencecah RM50,000 kini hanya sekitar RM15,000.

“Sejak tahun lalu perniagaan terjejas, namun paling ketara selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 awal tahun ini, orang dengar nak PKP terus berhenti tempah.

“Pendapatan terjejas sampai gaji tiga orang pekerja mampu bayar separuh sahaja, namun saya syukur mereka faham situasi yang sedang dialami,” kata pemilik Qabilah Tailor itu ketika dihubungi.

Mariam yang dibantu Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) berkata dalam situasi terdesak ketika ini juga dia masih perlu membayar secara penuh sewa kedai kerana pemilik masih mengekalkan kadar sama.

“Saya bersyukur kerana beban berkurangan melalui pemberian moratorium seperti yang diumum Pakej Kita Selangor 2.0. Sekurang-kurangnya boleh digunakan untuk kelangsungan perniagaan,” katanya.

Sementara itu ditanya mengenai usaha yang dilakukannya bagi memastikan perniagaan terus bertahan, katanya kini 100 peratus kaedah jualan atas talian digunakan terutama melalui Shopee.

“Ada jubah yang disewa pelanggan, ada yang beli kerana mahu merakam gambar kenangan memakainya  bersama keluarga,” katanya yang turut membuat jubah peguam.