Categories
AGENSI SELANGOR

Polis Shah Alam terima aduan rumah ibadat langgar SOP

SHAH ALAM, 23 JUN: Polis Shah Alam menerima aduan rumah ibadat selain Islam yang cuba mengadakan upacara tanpa mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berikutan itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata pasukan pemantauan Covid-19 digerakkan ke kawasan terbabit untuk menjalankan pemeriksaan.

“Bagaimanapun, pemantauan mendapati setiap rumah ibadat mengikuti SOP ditetapkan dan setakat ini tiada sebarang kompaun dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya memberi kerjasama dan mematuhi SOP bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapkan tiada aktiviti keagamaan di rumah ibadat sepanjang PKP. Hanya 12 ahli jawatankuasa dibenarkan hadir tanpa melibatkan penganut lain.