Categories
AGENDA NASIONAL

Program vaksin besar-besaran dijangka pulihkan kembali Selangor

SHAH ALAM, 25 JUN: Program Vaksinasi Covid-19 Selangor (SCVP) yang dilaksana secara besar-besaran mulai Isnin menyasarkan pekerja industri dijangka dapat memulihkan semula Selangor selepas lebih setahun dilanda pandemik.

EXCO pelaburan, perdagangan dan perindustrian berkata beliau yakin program itu juga dapat membantu memulihkan semula ekonomi negeri selepas risiko penularan dalam kalangan pekerja dapat dikurangkan, lapor The Star.

“Kilang juga boleh kembali beroperasi dengan kapasiti sebelum ini selepas sebahagian pekerja sudah divaksin,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) pula berkata SCVP dapat mengembalikan keyakinan pelabur menjalankan perniagaan tanpa sekatan susulan pelbagai kekangan ketika pandemik.

“Banyak pengilang menandatangani kontrak untuk mengeluarkan dan menghantar produk tetapi tidak dapat memenuhi pesanan kerana tidak dapat beroperasi dengan kapasiti penuh kerana sekatan yang dikenakan,” kata Datuk Abdul Rahim Saad.

Semalam, Selgate Healthcare Sdn Bhd (Selgate) melancarkan SCVP menerusi pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) di lokasi terpilih mulai Isnin.

Maklum kenyataan Selgate, PPV terletak di Tropicana Garden Mall, Petaling Jaya; Evo Mall, Bangi; Kompleks PKNS, Kelana Jaya; Hotel De Palma, Shah Alam dan Aurora Mall, Bukit Jalil.

Pada 16 Jun, seramai 2,371 pekerja kilang Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd menjadi kumpulan pertama dalam sektor perkilangan di Selangor disuntik vaksin.