Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Ratusan individu terjejas Covid-19 dapat bantuan Mais

SHAH ALAM, 20 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) semalam menyumbangkan pek makanan kepada 270 individu sekitar Sabak Bernam dan Klang yang terkesan akibat Covid-19.

Dalam perkongsian di Facebook, agensi itu memaklumkan bantuan bernilai RM27,000 meliputi makanan asasi seperti beras dan minyak masak.

“Ada dalam kalangan penerima ini mereka yang terputus perbelanjaan, tidak dapat bekerja akibat majikannya tidak beroperasi dan ada juga pendapatan yang terjejas sebab tidak boleh berniaga.

“Sumbangan menggunakan peruntukan fidyah Mais diagihkan kepada penerima yang dikenal pasti sekitar Sabak Bernam dan Klang. Semoga bantuan ini dapat meringankan beban mereka,” kata Mais.

Mais memperuntuk RM2 juta untuk membantu 20,000 keluarga yang terjejas akibat Covid-19 terutama golongan berpendapatan rendah atau mereka yang hilang punca pendapatan.

Program itu mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd, Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan, masjid dan surau di daerah terlibat.