Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sabak Bernam sifar kes Covid-19 dua hari berturut-turut

SHAH ALAM, 19 JUN: Sabak Bernam berjaya mengekalkan rekod sifar kes Covid-19 untuk tempoh dua hari berturut-turut setakat semalam, menurut Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Data dikongsikan jabatan itu di Facebook menunjukkan tiga daerah turut mencatatkan kes bawah 100 iaitu Sepang sebanyak 94 kes, Kuala Selangor (61) dan Hulu Selangor (60).

Rekod sama menunjukkan Petaling mencatatkan jangkitan tertinggi dengan 550 kes. Sebanyak 234 kes di mukim Petaling, Damansara (184), Sungai Buloh (85) dan Bukit Raja (47).

Hulu Langat pula merekodkan 548 kes membabitkan mukim Hulu Langat (264), Kajang dan Ampang masing-masing 77, Cheras (66), Semenyih (40), Beranang (lima) dan baki kes penjara.

Sementara itu, sebanyak 354 kes dilaporkan di Gombak iaitu mukim Batu (121), Rawang (117), Hulu Kelang (43), Kuang (37) dan Setapak (36).

Klang pula merekodkan 297 kes, majoriti di mukim Klang iaitu 257 kes manakala baki di Kapar.

Selain itu, sebanyak 131 kes direkod di Kuala Langat membabitkan 51 kes di mukim Tanjung 12 (2), Tanjung 12 (1) (36), Telok Panglima Garang (29), Morib (11), Batu (dua) serta masing-masing satu kes di Bandar dan Jugra.

Selangor mencatatkan 2,095 kes Covid-19 semalam dan 2,585 kes sembuh selain tujuh kluster baharu, semuanya membabitkan tempat kerja.