Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan percuma di DUN Hulu Klang, Bukit Antarabangsa esok

SHAH ALAM, 26 JUN: Penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Klang dan Bukit Antarabangsa disaran membuat saringan Covid-19 secara percuma esok.

Saringan Komuniti fasa tiga anjuran Kerajaan Negeri diadakan di Dewan Serbaguna MPAJ AU5 bermula jam 9 pagi hingga 6 petang.

Orang ramai boleh membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), tekan butang Sihat dan pilih Pendaftaran Saringan atau layari http://screening.selangkah.my/login.

Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) membolehkan jangkitan Covid-19 dikesan dalam tempoh kurang 30 minit.

Selangor memperuntuk RM10.7 juta untuk menjayakan program terbabit dengan menumpukan kawasan mencatat jangkitan tinggi selain sektor industri dan perkilangan.

Program bermula Sabtu minggu lepas memanfaatkan penduduk Seri Setia dan Taman Medan diikuti Gombak Setia, Sungai Tua dan Taman Templer manakala Kajang hari ini.