Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor cuma terima 615,000 dos vaksin, bukan 2.9 juta

SHAH ALAM, 3 JUN: Selangor cuma menerima 615,000 bekalan dos vaksin setakat kelmarin, bertentangan dengan data Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

EXCO kesihatan awam menjelaskan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) setakat 1 Jun hanya menerima 434,070 vaksin Pfizer BioNTech selain Sinovac (146,440) dan AstraZeneca (34,700).

“Maka, tidak timbul isu Selangor mendapat bekalan sebanyak 2.9 juta dos vaksin dan mustahil untuk Selangor mempunyai lebihan 2.5 juta dos untuk disimpan,” kata Dr Siti Mariah Mahmud dalam kenyataan hari ini.

Menyangkal laporan portal bertajuk ‘Selangor Received 2.9 Million Covid-19 Vaccine Doses: Mosti’, beliau berkata banyak kecelaruan dalam data kementerian itu, malah tidak selari dengan statistik pemberian dan penerimaan vaksin di Selangor.

“Kedua, terdapat negeri-negeri yang memberikan vaksin lebih daripada bekalan yang diterima. Situasi ini menunjukkan data yang dikeluarkan adalah tidak tepat dan sangat mengelirukan,” katanya lagi.

Dr Siti Mariah juga menambah keseluruhan vaksin yang telah diberi ialah 425,970 dos berdasarkan statistik Bilik Gerakan Negeri Selangor iaitu fasa pertama melibatkan 233,874 dos dan fasa kedua (192,096 dos).

Menjelaskan pengagihan vaksin diurus Kementerian Kesihatan sepenuhnya, beliau berkata bekalan yang diperuntuk kepada negeri disalur kepada JKNS sebelum ke bahagian farmasi, pusat kesihatan daerah dan pusat pemberian vaksin.