Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor sedia 500,000 dos vaksin buat B40, warga emas

SHAH ALAM, 30 JUN: Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin secara percuma yang menyasarkan warga emas dan golongan berpendapatan rendah (B40).

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti bakal memanfaat 250,000 penduduk negeri ini yang belum disuntik.

“Antara sasarannya adalah melindungi warga emas, kumpulan B40, penerima Inisiatif Peduli Rakyat sedia ada seperti Skim Mesra Usia Emas, Kasih Ibu Smart Selangor dan Skim Peduli Sihat.

“Kategori lain akan ditentukan kelak berdasarkan keperluan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pengumuman khas Selvax secara maya hari ini.

Beliau berkata hasrat negeri untuk membeli vaksin dinyatakan sejak 11 Januari lalu bagi memastikan imuniti kelompok dapat dicapai lebih awal.

Jelasnya, usaha itu digerakkan Selgate Healthcare hingga termeterai perjanjian pembekalan dan pengedaran (SDA) Pharmaniaga Berhad, pembekal tunggal Sinovac di Malaysia.

“Ini melahirkan program Selvax dengan jumlah 2.5 juta dos yang telah ditempah, dengan jangkaan 1.25 juta orang penerima vaksin,” kata Amirudin.

Pada 15 Jun, mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) memutuskan tumpuan vaksin diberikan kepada golongan rentan seperti warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Badan itu turut bersetuju mempergiat pemberian vaksin di Selangor sehingga mencapai sebanyak 135,000 orang sehari menjelang Julai dan terus meningkat 165,000 menjelang Ogos.

Maklumat berkaitan Selvax boleh dicapai melalui pautan https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai juga boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.