Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan Selangor dan Permaisuri bangga kejayaan ‘Damok’, inspirasi anak muda

SHAH ALAM, 15 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan ucapan tahniah kepada pelumba motosikal negara, Syarifuddin Azman atas kejayaan menjuarai saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Litar Catalunya, Sepanyol, Ahad lalu.

Menurut kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin mengucapkan syabas kepada pemuda berusia 19 tahun kelahiran Puchong, Selangor yang merakam sejarah tersendiri apabila berjaya menaiki podium menewaskan pelumba tuan rumah.

“Baginda berharap pencapaian ini akan terus membakar semangat Syarifuddin yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Damok’ untuk melakar lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa, seterusnya menjadi inspirasi kepada anak-anak muda lain,” menurut kenyataan itu.

Syarifuddin yang bermula di petak ke-10 menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan masa 29 minit 32.553 saat, mengatasi dua pelumba tuan rumah, David Munoz Rodriguez dan Jose Antonio Rueda Ruiz, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Syarifuddin kini berada di tangga keenam keseluruhan dengan mengumpul 30 mata selepas tiga pusingan.