Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tiada pekerja asing bantu kilang elektronik kawal penularan Covid-19

AMPANG, 20 JUN: Tenaga kerja 100 peratus warga tempatan membantu syarikat Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd mengawal penularan kes Covid-19 di dua kilangnya.

Pengarah urusannya berkata polisi kilang komponen elektronik itu untuk tidak menggajikan pekerja asing memudahkan pihaknya mengendalikan sebarang kes wabak.

“Jika kata tiada kes di kilang itu tidak betullah, kita ada kes dan itu dari luaran. Kita akan pastikan setiap kes itu dibuat pengesanan kontak dan dikuarantin.

“Kita juga pastikan mereka dapat kelulusan dari KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) sebelum dibenarkan bekerja. Ada sahaja kes kita laporkan kepada KKM,” kata Yogannaidu Sivanchalam.

Beliau berkata pihaknya juga tidak menyediakan asrama berikutan tiada pekerja asing di situ, sekali gus membantu mengurangkan risiko penularan wabak.

“Kita mempunyai lebih 5,000 pekerja bagi kedua-dua kilang dengan semuanya warga Malaysia dan kelebihan kita ialah tiada asrama pekerja.

“Itu menyenangkan kerja terutama apabila ada kes positif untuk pengesanan kontak dan kuarantin,” kata Yogannaidu.

Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd yang memiliki cawangan di Lorong Enggang, Ampang dan Melaka merupakan kilang pertama di Selangor yang menerima vaksin sejak 16 Jun.