Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tumpu saringan di lokaliti catat kes positif tinggi

SHAH ALAM, 23 JUN: Lokaliti yang mencatat kes positif Covid-19 tinggi dalam Saringan Komuniti fasa tiga perlu diberi tumpuan dengan diadakan ujian semula.

Pengarah Pasukan Khas Selangor Covid-19 (STFO) berkata penumpuan di kawasan terbabit perlu dilakukan kerana penduduk berkemungkinan menjadi punca wabak merebak.

“Setakat ini semua Dewan Undangan Negeri (DUN) terlibat dalam saringan fasa tiga minggu lalu mencatat lebih enam peratus kecuali Seri Setia 5.7 peratus.

“Apabila keputusan ini diterima, kawasan dengan peratusan tinggi boleh dinilai dan ujian hanya dilakukan di alamat tertentu sahaja yang menjadi penularan wabak,” kata Dr Mohammad Farhan Rusli kepada SelangorKini.

Beliau berkata hasil peratusan dicatat di lima DUN tersebut menunjukkan perebakan Covid-19 masih berlaku dalam kalangan penduduk setempat.

“Saringan komuniti oleh Kerajaan Negeri membantu dalam mengesan individu dijangkiti. Penting untuk mereka disyaki positif dikesan supaya jumlahnya dapat dikurangkan,” katanya.

Program fasa tiga itu melibatkan lapan DUN bermula minggu lalu di Seri Setia, Taman Medan, Sungai Tua, Gombak Setia serta Taman Templer dan akan diteruskan di Kajang pada 26 Jun sementara Hulu Klang dan Bukit Antarabangsa pada 27 Jun.

Kesemua DUN itu mencatat peratusan kes Covid-19 lebih lima peratus semasa fasa kedua.