Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat Meru agih lebih 130 pek makanan asas

SHAH ALAM, 5 JUN: Lebih 130 pek barangan dapur diagih kepada keluarga kurang berkemampuan dan individu yang sedang menjalani kuarantin di sekitar Meru setakat ini.

Wakil rakyatnya Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata bantuan makanan Covid-19 disalur sejak hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi meringankan beban golongan berkenaan.

“Bantuan seperti beras, minyak masak, tepung gandum, bihun, sos cili dan gula diberi mengikut keperluan keluarga terbabit berdasarkan maklumat yang diperoleh.

“Sumbangan disampaikan dari rumah ke rumah atau pemohon hadir sendiri ke pejabat pusat khidmat rakyat manakala mereka yang dikuarantin, bekalan diletakkan di pintu rumah bagi mengurangkan interaksi fizikal,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, beliau mengingatkan individu yang mahu mendapatkan bantuan supaya memberi maklumat jelas bagi memudahkan urusan pengagihan sekali gus mengelak keciciran.

Mohd Fakhrulrazi turut mempelawa mana-mana badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta mahupun individu untuk menghulurkan sumbangan bagi menjayakan program berkenaan.

Berikut disertakan syarat kelayakan memohon bantuan tersebut:

1. Pengundi DUN Meru
2. Penduduk atau pemastautin sah DUN Meru
3. Mempunyai surat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh kuarantin

Untuk pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi pusat khidmat rakyat Meru di talian 03-33920863 atau 01169669086.