Categories
AGENDA NASIONAL

Wanita 29 tahun antara 74 kematian direkod seluruh negara akibat Covid-19

SHAH ALAM, 18 JUN: Seorang perempuan berusia 29 tahun antara 74 kematian direkod di seluruh negara hari ini akibat Covid-19.

Ketua pengarah kesihatan bagaimanapun tidak memaklumkan sama ada kematian termuda bukan warganegara itu mengalami sebarang penyakit dan jenazah dibawa ke Hospital Labuan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan turut menjelaskan lima kematian dicatat membabitkan individu berusia lingkungan 30 hingga 39 tahun.

Mangsa terdiri daripada:

1. Perempuan 33 tahun meninggal di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang yang mempunyai penyakit saraf
2. Lelaki 34 tahun meninggal di Hospital Selayang, Selangor yang mempunyai penyakit obesiti
3. Perempuan 35 tahun meninggal di Hospital Melaka yang mempunyai penyakit asma
4. Perempuan 35 tahun meninggal di Hospital Kuala Lumpur yang mempunyai penyakit paru-paru kronik
5. Perempuan 39 tahun meninggal di Hospital Sungai Buloh yang mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan dislipidemia

Dr Noor Hisham berkata majoriti kes kematian membabitkan individu berusia 40 tahun ke atas yang ada penyakit tertentu antaranya kencing manis, darah tinggi, buah pinggang dan jantung.

Sementara itu, katanya, sebanyak 28 kes tersebut dilaporkan di Selangor, Negeri Sembilan (sembilan), Sarawak dan Johor masing-masing (tujuh) serta Sabah (enam).

Manakala Labuan merekodkan lima kes, Kuala Lumpur (empat), Melaka (tiga), Pahang (dua) serta Perak, Terengganu dan Kedah (satu).

Keseluruhannya, sebanyak 4,276 individu maut di seluruh negara ekoran wabak yang melanda sejak lebih setahun.