Categories
AGENDA NASIONAL

30 syarikat dipilih sertai pemula niaga, bantu lonjak perniagaan

SHAH ALAM, 27 JULAI: Sebanyak 30 syarikat pemula bakal dipilih menyertai Program Pemecut Selangor (SAP) 2021, iaitu inisiatif untuk melonjakkan perniagaan yang dibiayai Kerajaan Negeri.

EXCO Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim berkata pemilihan syarikat dibuat berdasarkan lima bidang iaitu
teknologi pertanian, teknologi perbankan, teknologi hijau, e-dagang dan perbandaran pintar.

“Banyak syarikat terjejas akibat lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun perniagaan dalam lima bidang ini mampu bertahan serta diteruskan ketika pandemik.

“Ini adalah fokus utama Kerajaan Selangor untuk memulih serta melonjakkan ekonomi melalui digitalisasi selain penggunaan teknologi dalam operasi perniagaan,” katanya pada sidang media sempena pelancaran SAP 2021 melalui aplikasi Zoom hari ini.

Program terbabit merangkumi sembilan syarikat berkaitan e-dagang, masing-masing enam berkaitan teknologi pertanian dan perbankan, lima berkaitan teknologi hijau, tiga berkaitan teknologi pendidikan serta satu berkaitan perbandaran pintar.

SAP merupakan program berstruktur yang berlangsung selama tiga bulan bertujuan untuk memberi persediaan 30 syarikat pemula dalam menerima pelaburan.

Program itu dikendalikan oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).