Categories
ADN SELANGOR

ADN desak tutup kilang punca lonjakan kes Covid-19

KLANG, 8 JULAI: Wakil rakyat Meru mendesak pihak berkuasa menghentikan sementara operasi kilang yang dikenal pasti menjadi punca penularan kes Covid-19.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata tindakan tegas tidak boleh dilengahkan meski sektor terbabit memainkan peranan penting kepada ekonomi negara.

“Saya merayu dengan sepenuh hati khususnya kepada kerajaan supaya dapat tutup sementara kilang yang dikesan masih beroperasi walaupun ada kes Covid-19 membabitkan pekerja.

“Ia bukanlah untuk tempoh yang lama tetapi (dalam tempoh) tertentu bagi memastikan wabak berbahaya ini tidak merebak kepada komuniti,” katanya selepas meninjau kilang Top Glove di sini hari ini.

Beliau menegaskan nyawa rakyat perlu diutamakan berbanding menjaga kepentingan individu atau syarikat yang ingin meraih keuntungan.

Pada 30 Jun, Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak 91 peratus kluster membabitkan tempat kerja dikesan di negeri ini sepanjang Jun.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan 80 peratus meliputi kluster perkilangan manakala 11 peratus lagi kluster tapak binaan.