Categories
AGENDA NASIONAL

Aliran trafik lengang di beberapa lebuh raya utama

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama di sekitar Lembah Klang dilaporkan lancar dan terkawal pada pagi sambutan Hari Raya Aidiladha hari ini.

Menurut jurucakap PLUS Malaysia Berhad dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) setakat 11 pagi tadi, aliran trafik di kedua-dua arah Lebuhraya Utara Selatan juga lancar berikutan aliran trafik yang rendah.

“Trafik masih lengang di sepanjang Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 termasuk lokasi di sekitar Plaza Tol Gombak, Bentong, Karak dan Kuala Terengganu berikutan aliran trafik yang rendah,” demikian menurut jurucakap LLM.

Tinjauan Bernama di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Sungai Besi hari ini juga mendapati jalan raya lengang dari kedua-dua arah.

Selain itu, beberapa sekatan jalan raya di sekitar ibu negara khususnya di sempadan negeri yang sebelum ini berlaku kesesakan juga lancar dan terkawal.

Sebelum ini media melaporkan berlaku peningkatan aliran trafik di lebuh raya menghala ke timur beberapa hari sebelum Aidiladha yang disambut hari ini.

Pada Ahad lepas, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima dokumen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai kelulusan pergerakan sah bagi tempoh empat hari mulai 18 hingga 21 Julai ini, untuk pergerakan rentas negeri susulan terdapat individu menyalah guna surat itu untuk pulang ke kampung menyambut Aidiladha.

-BERNAMA