Categories
AGENDA GLOBAL

Ancaman varian bahaya Delta, ekonomi global dijangka lambat pulih

SHAH ALAM, 11 JULAI: Menteri Kewangan Negara G20 memberi amaran varian Covid-19 Delta yang merebak dengan cepat dan melumpuhkan sistem penjagaan kesihatan awam boleh memperlahankan pemulihan ekonomi global.

Menurut kenyataan bersama semalam, pemulihan ekonomi itu adalah berdasarkan perbezaan bagi setiap negara yang tetap terdedah kepada penyebaran varian baharu virus Covid-19, lapor AFP.

Menteri kewangan G20 itu juga mengingatkan bahaya ‘kadar kemajuan program vaksinasi berbeza’ di seluruh dunia.

Kebimbangan utama adalah varian Covid-19 Delta, yang pertama kali muncul di India dan merebak dengan cepat di benua Asia dan Afrika sebelum menular ke Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

“Kami mempunyai ramalan ekonomi yang baik bagi semua negara G20,” kata Menteri Ekonomi Perancis, Bruno Le Maire.

“Satu perkara yang boleh mengancam pemulihan ekonomi yang kukuh dan pesat adalah varian Covid-19 serta gelombang baharu pandemik. Kita mesti menambah baik program vaksinasi di setiap negara seluruh dunia,” katanya.

Menteri Kewangan Britain, Rishi Sunak dalam nada bertentangan, apabila berkata kepada AFP dalam satu temubual di negara itu bahawa vaksin berkesan dalam menghalang kemasukan ke hospital dan kematian, termasuk varian Covid-19 Delta.

“Saya fikir ia memberi kita keyakinan untuk bergerak ke hadapan dan secara perlahan serta selamat membuka semula ekonomi dan negara kita,” kata Sunak.

Banyak negara, dari Sepanyol hingga ke Thailand, bagaimanapun mengambil langkah melaksanakan semula sekatan anti Covid-19.

G20 menggesa kempen vaksinasi di seluruh dunia dipercepat dan berjanji akan melakukan lebih lagi bagi membantu negara membangunan memberikan suntikan kepada warga mereka.