Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Hampir 100 rumah kibar bendera putih antara 1,500 keluarga dibantu

SHAH ALAM, 6 JULAI: Hampir 100 rumah sekitar Rawang yang mengibarkan bendera putih kerana desakan hidup akibat pandemik antara 1,500 keluarga yang dibantu dalam tempoh tiga minggu ini.

Wakil rakyatnya Chua Wei Kiat berkata bantuan meliputi bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan telur selain mewujudkan bank makanan di pusat khidmat.

“Petang semalam saya mewujudkan rak bank makanan di depan pejabat. Sesiapa yang memerlukan bekalan makanan boleh datang pada bila-bila masa dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Harap kemudahan ini dapat membantu golongan yang memerlukan. Kalau kaedah ini berjaya, saya akan mewujudkan lebih banyak bank makanan di kawasan lain,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, Wei Kiat kecewa terhadap segelintir pihak yang mengambil kesempatan dengan mengibar bendera putih meskipun mereka golongan berkemampuan.

“Jumlah mereka tidak ramai dianggar 15 keluarga dan ada yang enggan menurunkan bendera walaupun sudah dibantu. Selepas ini kita akan siasat dan kumpul maklumat bagi memastikan yang layak sahaja dibantu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing berkata bantuan tambah nilai kredit telefon antara permohonan diterima pihaknya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Rajiv Rishyakaran berkata individu berkenaan terdesak bagi memastikan anaknya tidak ketinggalan mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Dalam tempoh seminggu ini hampir 300 keluarga dibantu dan jumlahnya meningkat ketika PKPD. Kita jangka bilangan yang terkesan akan meningkat lagi jika tempoh PKPD disambung,” katanya.