Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir 4,000 hadir ke CAC Stadium Malawati sejak pagi

SHAH ALAM, 12 JULAI: Hampir 4,000 individu hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati, Seksyen 13 hari ini bagi membuat penilaian kesihatan.

Pegawai Perubatan CAC Dr Ziti Akhtar Supian berkata jumlah berkenaan antara yang tertinggi direkodkan sejak dibuka lima bulan lalu.

“Dari pagi tadi jumlah pengunjung termasuk pesakit Covid-19 tidak berkurang sehingga jam 4 petang ini. Bagaimanapun kita tidak dapat pastikan jumlah sebenar.

“Berdasarkan pemerhatian, kami yakin jumlah yang datang ini mencecah 4,000 individu,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, tular di media sosial kesesakan di CAC berkenaan susulan peningkatan kes positif wabak sejak kebelakangan ini.

Orang ramai termasuk bayi dan warga emas terpaksa beratur lebih 500 meter selain ada pesakit yang membawa beg pakaian sebagai persediaan sekiranya ditahan di pusat kuarantin.

CAC bagi daerah Petaling itu beroperasi sejak 8 Februari lalu dengan kapasiti seramai 1,000 hingga 1,200 pesakit untuk dinilai sehari.

Pada Mei, Kerajaan Selangor menyediakan 20 khemah dilengkapi kipas, kerusi dan sistem audio untuk kegunaan pesakit dan petugas kesihatan di CAC terbabit.