Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Hampir 4,000 penduduk DUN Batu Tiga mohon Selvax Komuniti

SHAH ALAM, 24 JULAI: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga menerima hampir 4,000 permohonan mendapatkan suntikan bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti sejak dibuka 7 Julai lalu.

Bagaimanapun, wakil rakyatnya Rodziah Ismail berkata hanya 2,500 individu diberi tarikh janji temu untuk menerima suntikan dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hotel De Palma, Seksyen 19 semalam.

Beliau menjelaskan mereka yang layak terdiri daripada warga emas, orang kelainan upaya (OKU), peniaga pasar, penerima Inisiatif Peduli Rakyat (IPR), pengasuh kanak-kanak serta petugas masjid dan rumah ibadat.

“Kita tidak sangka menerima permohonan sebanyak itu namun terpaksa mengutamakan mereka yang benar-benar layak selain tinggal berhampiran dengan PPV ini kerana mahu pergerakan lebih cepat.

“Mudah-mudahan kesemua yang terpilih dapat hadir tetapi kita dapati ada yang gagal berbuat demikian kerana sedang menjalani kuarantin di rumah dan mendapat tarikh janji temu melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.

Rodziah yang ditemui selepas meninjau PPV terbabit berpuas hati dengan proses pemberian vaksin dikendalikan petugas kesihatan Selgate Healthcare.

“Alhamdulillah, keadaan agak terkawal serta mengharapkan mereka yang hadir kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) selain datang awal bagi mengelak kesesakan,” katanya.

Selvax Komuniti bakal memanfaatkan 250,000 penduduk Selangor khususnya warga emas dan OKU membabitkan 500,000 dos.

Maklumat berkaitan program tersebut boleh dicapai dengan melayari laman sesawang http://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600.