Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Ketua kampung ronda elak penduduk putus bekalan makanan

SHAH ALAM, 3 JULAI: Pandemik Covid-19 tidak menghalang dua ketua kampung wanita menjalankan tanggungjawab menyalurkan bantuan kepada penduduk terputus bekalan makanan.

Salasiah Sahat, 45, berkata setiap hari rondaan dilakukan sekitar Kampung Parit 16, Binjai Jaya, Sungai Panjang bersama seorang ahli jawatankuasanya (AJK).

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan program bersama penduduk terhad. Jadi salah satu cara ialah melakukan rondaan di sekitar kampung yang mempunyai 472 kediaman.

Salasiah Sahat

“Setakat ini bekalan makanan mencukupi cuma ada juga penduduk yang mohon bantuan supaya membelikan keperluan kerana menjalani kuarantin,” katanya yang dilantik ketua kampung pada 2019.

Sementara itu, Ketua Kampung Kampung Baharu Sabak Bernam, Azizah Samin, 57, berkata beliau mengagihkan 80 bungkusan makanan setiap Jumaat kepada pesakit Covid-19, warga emas dan ibu tunggal.

“Saya melakukan rondaan secara bersendiri setiap petang selain memberi khidmat penghantaran ke pusat vaksin kepada penduduk yang tiada kenderaan,” katanya.

Pada 1 April lalu EXCO perumahan, kesejahteraan bandar dan pembangunan usahawan berkata penglibatan wanita dalam pembangunan negeri ini terus diperkasa dengan pelantikan ketua kampung meningkat kepada 16 orang.

Rodziah Ismail berkata pertambahan itu membuktikan Selangor sentiasa ke depan dengan tidak meletakkan gender sebagai syarat.