Categories
AGENDA NASIONAL

Ketua pembangkang mahu usul undi tidak percaya terhadap PM

SHAH ALAM, 29 JULAI: Ketua pembangkang menghantar usul hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau mewakili ahli dewan mendesak Muhyiddin yang merupakan ahli parlimen Pagoh dipecat daripada jawatan dengan segera mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Ahli Dewan Rakyat mengambil maklum dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat dilakukan tergesa-gesa tanpa perbentangan di Parlimen.

“Kenyataan bercanggah dan mengelirukan di Parlimen itu bukan hanya gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang tetapi juga membelakangkan fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Anwar berkata pihaknya turut mendesak Menteri Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun juga meletak jawatan masing-masing.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara menerusi kenyataan berkata Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Baginda.

Menurut Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka Baginda juga menzahirkan dukacita kerana perkara diperkenan dan dititahkan pada 24 Julai lalu kepada Takiyuddin dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun supaya pembatalan Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen tidak dilaksanakan.