Categories
AGENDA NASIONAL

KKM cadang kelonggaran individu lengkap vaksin diberi ikut lokasi

SHAH ALAM, 23 JULAI: Kelonggaran kepada individu lengkap dua dos vaksin Covid-19 akan mengambil kira beberapa kriteria termasuk kawasan sudah mencapai pemberian vaksin lebih 40 peratus.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata pihaknya ada mencadangkan perkara itu dalam mesyuarat Majlis Pemulihan Negara yang akan membuat keputusan dalam masa terdekat.

Jelasnya, setakat ini pemberian vaksin di negara mencapai 21 peratus melebihi nilai ambang untuk bergerak dari fasa pertama ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Untuk bergerak ke fasa ketiga perlu mencapai 40 peratus, namun kita telah bentangkan kepada majlis bahawa ada sesetengah tempat sudah capai melebihi jumlah itu.

“Jadi kita mencadangkan supaya diumum kemudahan kepada mereka yang telah menerima dua dos selepas dua minggu, Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) akan mengumumkannya dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka yang diberi kemudahan itu nanti harus kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Beliau memberi contoh petugas kesihatan di hospital dan wad merawat pesakit Covid-19 perlu mengikut SOP ketat bagi mengelakkan jangkitan walaupun lengkap menerima vaksin.

“Jangkitan hanya 1.9 peratus dan hanya kategori satu serta dua, maksudnya penting mematuhi SOP,” katanya.