Categories
AGENDA NASIONAL

Lanjut operasi pasar pagi, harian antara perubahan SOP pelan pemulihan

SHAH ALAM, 19 Julai: Kerajaan bersetuju melakukan beberapa perubahan tatacara operasi piawai (SOP) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 dan Fasa 2 susulan perkembangan positif kadar pemberian vaksin negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi kenyataan berkata antara perubahan terbabit ialah:

Fasa 1

  • Bagi meningkatkan produktiviti, kehadiran di pejabat bagi sektor awam ditingkatkan kepada 40 peratus dan tertakluk kepada arahan ketua setiausaha negara (KSN).
  • Perkhidmatan perakaunan juga dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus.
  • Operasi pasar harian dan pasar awam dilanjutkan dari 6 pagi hingga 4 petang tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan pematuhan SOP dan pengawasan, Manakala waktu operasi pasar segar terkawal (PST) akan dilanjutkan dari 7 pagi sehingga jam 2 petang.
  • Aktiviti berbasikal dan permainan individu yang boleh mengamalkan penjarakan fizikal 2-3 meter dibenarkan di kawasan kejiranan sahaja.
  • Pelabuhan, lapangan terbang, dan sektor logistik dibenarkan untuk beroperasi 24 jam.
  • Pengoperasian lombong dan kuari adalah dibenarkan dengan kapasiti pekerja sehingga 60 peratus tertakluk kepada SOP perlombongan dan pengkuarian. Ini bagi memenuhi keperluan kepada projek kritikal yang melibatkan pembaikan dan pembinaan jalan raya, jalan luar bandar serta persekutuan.

Fasa 2

  • Penggambaran filem di luar studio dibenarkan dengan pematuhan SOP ketat.
  • Waktu operasi premis perniagaan dari 6 pagi hingga 10 malam termasuk stesen minyak.

Setakat semalam, jumlah pemberian vaksin Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 14,347,285 dos merangkumi 9,815,735 dos pertama dan 4,531,550 dos kedua.