Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 10,000 petugas KDEBWM terima manfaat Selvax Industri

SHAH ALAM, 14 JULAI: Seramai 10,500 petugas KDEB Waste Management (KDEBWM) akan menerima suntikan pelalian Covid-19 menerusi Program Vaksin Selangor (Selvax) Industri.

Pengarah Urusannya berkata jumlah itu meliputi 75 peratus pekerja yang belum mendapat suntikan pelalian atau tarikh janji temu dari Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Sebelum ini seramai 400 pegawai telah mendapat manfaat program anjuran Kerajaan Selangor itu dengan menerima dos pertama pada Jun.

“Dijangkakan mereka akan menerima vaksinasi lengkap hujung bulan ini. Sebenarnya semua kakitangan telah membuat pendaftaran di MySejahtera namun giliran suntikan masih belum diterima.

“Jadi kita buat keputusan beli pelalian ini dari Kerajaan Negeri. Kita akan membincangkan perkara ini dengan Selgate Healthcare Sdn Bhd secepat mungkin bagi memastikan semua pekerja disuntik,” kata Ramli Mohd Tahir.

Beliau berkata demikian pada program Bual Bicara bertajuk Cabaran Pengurusan Sisa Ketika Covid-19 yang disiarkan secara langsung di Facebook Media Selangor dan YouTube Selangor TV semalam.

Jelas Ramli, kakitangan KDEBWM terutama petugas di lapangan berdepan risiko jangkitan Covid-19 yang tinggi kerana terdedah dengan sisa buangan seperti pelitup muka dan sarung tangan dari kawasan berisiko, antaranya hospital, klinik serta kawasan industri.

“Sejak pandemik melanda tahun lalu, seramai 16 pegawai dan beratus sub-kontraktor dijangkiti virus ini menyebabkan operasi (tugasan) tergendala dan mengundang masalah sampah menimbun.

“Memandangkan kita merupakan perkhidmatan perlu, kita perlu bekerja setiap hari tanpa henti. Jadi (Selvax Industri) jalan paling berkesan untuk menguatkan semangat kakitangan untuk bekerja,” katanya.

Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Industri dengan menyediakan dua juta dos vaksin kepada majikan bagi diagihkan secara percuma untuk sejuta pekerja negeri ini termasuk warga asing.