Categories
ADN SELANGOR

Lebih 2,800 penduduk Subang Jaya dapat vaksin negeri

SHAH ALAM, 30 JULAI: Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

Ahli Dewan Negerinya Michelle Ng Mei Sze berkata lebih 2,800 peserta hadir untuk mendapatkan suntikan pelalian Covid-19 bagi tempoh dua hari bermula kelmarin.

“Kita menyasarkan 2,600 peserta tetapi yang hadir lebih daripada jumlah ditetapkan. Lebih 50 peratus daripada penerima merupakan warga tempatan yang belum mendapat janji temu di MySejahtera.

“Mereka yang belum mendapat janji temu boleh hadir kerana objektif adalah untuk memastikan penduduk Subang Jaya dapat divaksin bagi memastikan kes di Selangor menurun,” katanya ketika dihubungi.

Seramai 1.04 juta atau 22 peratus rakyat Selangor lengkap menerima dua dos suntikan vaksin setakat semalam dengan 151,884 dos disuntik bawah program Selvax.

Kerajaan Negeri menyediakan dua juta dos vaksin kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.