Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 500 kes Covid-19 punca Mentari Court dikenakan PKPD

PETALING JAYA, 2 JUL: Lebih 500 kes positif Covid-19 dikesan di Mentari Court, PJS 8 dekat sini dengan kebanyakan berpunca daripada pekerja kilang yang menghuni di situ.

Jumlah itu direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam tempoh 60 hari sehingga Selasa lalu.

Berikutan itu kawasan tersebut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula semalam bagi mengekang perebakan wabak.

Pegawai daerah Petaling berkata pelaksanaan perintah itu melibatkan kira-kira 17,000 penduduk terdiri daripada warga tempatan dan asing yang mendiami hampir 3,500 unit kediaman.

“Bagi mengawal perebakan terus berlaku maka urusan keluar masuk tidak dibenarkan. Perumahan ini mempunyai kedai runcit dan pasar raya mini jadi hanya seorang dibenar keluar membeli keperluan,” kata Dato’ Johary Anuar.

Penduduk di kawasan itu juga menjadi kumpulan pertama di negeri ini menerima vaksin dalam kawasan PKPD.

Dijangka vaksin diberikan pada Ahad selepas semua penduduk menjalani proses saringan.

Kerajaan juga mengenakan PKPD di Taman Perumahan SS 91A, Sungai Way dan Pangsapuri Westlite – PKNS.