Categories
AGENSI SELANGOR

Mahasiswa hargai negeri sumbang bekalan makanan

SERDANG, 8 JULAI: Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) menghargai bantuan makanan dan keperluan diri sumbangan Kerajaan Selangor kepada mereka.

Yang dipertua Majlis Persatuan Pelajar berkata sumbangan itu meringankan beban golongan terbabit yang terbatas pergerakannya susulan perintah kawalan ketat di situ.

“Bantuan ini juga membantu pelajar yang berdepan masalah kewangan. Jadi bahan makanan dan peralatan diri ini dapat menampung keperluan mereka untuk seminggu dua,” kata Muhammad Huzaifi Ismut.

Beliau mewakili pelajar UPM menerima bantuan tersebut daripada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi program Pembangunan dan Kebajikan Mahasiswa Anak Negeri Selangor hari ini.

Bantuan meliputi makanan kering antaranya mi segera, sambal ikan bilis, biskut, bubur nasi selain peralatan diri seperti berus gigi dan barangan mandian.

Seramai 7,200 pelajar kelahiran Selangor di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara menerima sumbangan tersebut secara berperingkat.

Setakat ini, seramai 2,700 mahasiswa mendapat manfaat membabitkan Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Malaysia Kelantan.

Inisiatif bernilai RM1.5 juta itu sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumum Dato’ Menteri Besar pada 9 Jun lalu.