Categories
AGENSI SELANGOR

Mais agih fidyah RM18,500 kepada penduduk Klang, Kuala Selangor

SHAH ALAM, 16 JULAI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan fidyah berjumlah RM18,500
bagi membantu seramai 185 penduduk memerlukan di Klang dan Kuala Selangor.

Agensi itu berkata sumbangan kepada golongan terkesan akibat Covid-19 meliputi makanan asas seperti beras dan minyak masak bernilai RM100 untuk setiap penerima.

“Terima kasih kepada semua pembayar fidyah, semoga sumbangan ini dapat membantu meringankan beban golongan terbabit.

“Agihan membabitkan kerjasama Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM) terdiri daripada masjid dan surau sekitar daerah itu,” maklum Mais menerusi Facebook semalam.

Mereka yang ingin membayar fidyah secara dalam talian boleh berbuat demikian menerusi pautan http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.

Mais memperuntuk sejumlah RM2 juta agihan fidyah bagi membantu 20,000 keluarga Islam yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Bantuan dikhususkan kepada golongan berpendapatan rendah, individu dibuang kerja, cuti tanpa gaji, dikurangkan gaji sehingga 50 peratus atau yang hilang punca pendapatan.