Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Makan bubur, bekas askar kibar bendera putih dibantu wakil rakyat

KLANG, 5 JULAI: Empat sekeluarga hanya menjamah bubur nasi selama beberapa hari untuk meneruskan kehidupan sebelum mereka memutuskan untuk mengibar bendera putih.

Md Sani Mohamad, 69, yang menyara isteri dan dua anak berusia sembilan dan 10 tahun dengan mengambil upah membuat kerja kampung hilang pendapatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bekas askar itu juga terpaksa menebalkan muka dengan berhutang di kedai runcit milik penduduk keturunan Acheh untuk memperoleh barangan keperluan asas.

“Sejak PKP, saya tiada pendapatan kerana orang kampung tidak panggil kerana khuatir Covid-19 merebak. Akibat tiada pendapatan, saya tidak mampu beli lauk. Isteri hanya masak bubur nasi demi kelangsungan hidup.

“Apabila beras habis, saya terpaksa berhutang membeli beras dan lauk di kedai berhampiran. Kadangkala pemiliknya beri secara percuma,” katanya kepada Selangorkini.

Mesra dengan panggilan Wak Sani, beliau menjelaskan tindakan mengibar bendera putih adalah pilihan terakhir demi memastikan mereka sekeluarga tidak kebuluran.

“Sebelum letakkan bendera putih, saya ada pergi ke beberapa tempat yang meletakkan makanan percuma tetapi semuanya habis.

“Saya tiada pilihan dengan mengibar bendera putih dan terkejut apabila menerima kunjungan wakil rakyat Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar,” katanya kepada Selangorkini.

Md Sani yang menetap di Jalan Paip, Meru mengetahui kempen kibar bendera putih melalui beberapa jirannya.

Sementara itu, Mohd Fakhrulrazi ketika dihubungi berkata pihaknya membantu lima keluarga yang mengibar bendera putih akibat pendapatan terjejas sejak PKP dilaksanakan.

“Mereka mahu bekerja tetapi tidak dibenar kerana pandemik Covid-19. Bukan sahaja tiada pendapatan tetapi terputus bekalan makanan kerana tidak bekerja.

“Selain keperluan makanan, ada keluarga yang diberikan susu formula, lampin pakai buang dan ubat serta wang ringgit,” tambahnya lagi.

Kempen bendera putih dimulakan di media sosial bagi membantu golongan susah dengan mengibarkannya di rumah jika tiada bekalan makanan.

PKPD dikuat kuasa membabitkan di 34 mukim di lapan daerah di negeri ini selama 14 hari bermula kelmarin hingga 16 Julai.