Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Lebih banyak saringan mudahkan kesan kontak rapat (VIDEO)

SHAH ALAM, 11 JULAI: Peningkatan jumlah saringan Covid-19 memudahkan untuk mengesan individu yang mempunyai kontak rapat sekali gus mencegah wabak daripada terus merebak.

Dato’ Menteri Besar berkata seperti dimaklumkan peningkatan kes disumbang beberapa mukim dan lokasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Kita telah mewajibkan mereka yang dilaksanakan PKPD melakukan saringan. Dengan ujian lebih banyak, golongan mempunyai kontak rapat dengan individu positif dapat dikesan.

“Dijangka dalam tempoh beberapa hari, pertumbuhan kes baharu di negeri ini dalam sekitar angka tersebut (anggaran 4,000),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi rakaman video di Facebook.

Beliau berkata pemberian vaksin akan diberikan kepada individu negatif di lokaliti dilaksanakan PKPD dengan proses tersebut dipercepatkan untuk memastikan mereka dilindungi.

Kes baharu Covid-19 mencatat angka lebih 9,000 tiga hari berturut-turut dengan 9,105 kes hari ini manakala Selangor pula mencatat 4,682 mengatasi rekod tertinggi pada Jumaat iaitu 4,400 kes.

Pada 28 Jun, empat kawasan di negeri ini dikenakan PKPD selama 14 hari mulai 30 Jun iaitu CLQ Gamuda Gardens, Kundang Jaya, Rawang; Taman Murni, Sepang; Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Baru Bangi dan CLQ Johan Setia di Klang.

Manakala pada 29 Jun pula tiga lagi kawasan di Petaling dikenakan perintah sama iaitu Mentari Court di PJS 8, Taman Perumahan SS 91A, Sungai Way dan Pangsapuri Westlite – PKNS mulai 1 Julai.