Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN mahu ruang berbahas isu pandemik, bukan kemuka undi tidak percaya

SHAH ALAM, 18 Julai: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) mahu ruang berbahas isu pandemik Covid-19 pada sidang Dewan Rakyat nanti, bukannya untuk mengemukakan undi tidak percaya.

PAKATAN berkata ia selaras dengan titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan Dewan Rakyat harus bersidang “secepat mungkin” untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan Covid-19.

“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun 2021 menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan segera supaya Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat membahaskan Ordinan-ordinan Darurat, Pelan Pemulihan Negara dan perbelanjaan berkaitan pandemik Covid-19.

“Seri Paduka Baginda menitahkan pandangan yang sama pada 24 Februari dan 29 Jun 2021. Titah pandangan Seri Paduka Baginda senada dengan aspirasi rakyat yang mahu pengakhiran kemelut wabak pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi dihadapi negara ketika ini,” menurut kenyataan PAKATAN.

Kenyataan yang dikeluarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng juga menyebut pada 12 Julai lalu Ketua Pembangkang telah menghantar usul kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk membahaskan perkara-perkara yang digesa Yang di-Pertuan Agong.

“Tidak ada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibentangkan oleh Pakatan Harapan yang mahu tumpuan diberikan hanya kepada masalah rakyat ekoran krisis Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.

“Malangnya kenyataan media Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 15 Julai menyatakan persidangan Dewan Rakyat pada 26 Julai hingga 2 Ogos hanyalah satu persidangan khas bagi mendengar penerangan atau ceramah Menteri-Menteri tanpa sebarang perbahasan oleh Ahli-ahli Parlimen,” katanya.

PAKATAN juga mendesak Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan kerajaan Perikatan Nasional agak tidak derhaka terhadap titah pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan terus membuka ruang perbahasan serta diputuskan bagi membolehkan Parlimen berfungsi semula secara normal.