Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Peniaga PKS dipelawa mohon geran padanan kumpulan kedua mulai1 Ogos

SHAH ALAM, 27 JULAI: Kerajaan Negeri mempelawa peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memohon Geran Padanan Digitalisasi kumpulan kedua yang dibuka pada 1 Ogos nanti.

EXCO industri kecil dan sederhana berkata pemberian geran itu dapat membantu peniaga beralih dari konsep fizikal ke maya.

“Inisiatif ini dapat memberi manfaat kepada 1,000 PKS Selangor dengan nilai keseluruhan geran RM5 juta.

“Selain itu, menerusi pemberian geran ini kita berharap dapat membantu usahawan meneruskan kelangsungan perniagaan mereka,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Beliau berucap pada sidang media secara maya sempena pelancaran ‘Selangor Accelerator Programme 2021’ (SAP) melalui aplikasi Zoom hari ini.

Pada 12 April, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan geran tersebut untuk membantu PKS melakukan transformasi digital.

Sebanyak RM5 juta diperuntuk bagi manfaat 1,000 peniaga kecil dengan jumlah bantuan antara RM1,000 hingga RM5,000.

Lima bidang pendigitalan yang ditawarkan ialah e-dagang, sistem sumber manusia, sistem akaun, pemasaran digital dan sistem Electronic Point of Sale (e-PoS) dan gerbang pembayaran.