Categories
AGENSI SELANGOR

PKPS serah bantuan makanan kepada penduduk Mentari Court

PETALING JAYA, 1 JULAI: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyerahkan 3,500 pek makanan kepada penduduk Mentari Court, PJS 8 yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula hari ini.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata bantuan berupa beras, tepung, gula, sardin, minyak masak dan serbuk teh itu dijangkakan mampu menampung keperluan penduduk selama dua minggu.

“Ini merupakan bantuan kedua untuk kawasan dikenakan PKPD. Awal bulan lalu kita serahkan lebih 1,000 pek makanan termasuk barangan basah untuk penduduk di Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima, Sabak Bernam.

“PKPS bersedia menghulurkan bantuan ke kawasan PKPD lain sekiranya mendapat arahan daripada Kerajaan Selangor. Kita akan membantu penduduk terkesan sebaik mungkin,” kata Dato’ Abdul Ghariff Ramin.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan makanan terbabit kepada Pegawai Daerah Petaling, Dato’ Johary Anuar.

Selain Mentari Court, kerajaan juga mengenakan PKPD di Taman Perumahan SS 91A, Sungai Way dan Pangsapuri Westlite – PKNS selama 14 hari bermula hari ini.

Perintah itu dibuat selepas kadar jangkitan Covid-19 yang tinggi dikesan di ketiga-tiga kawasan berkenaan.