Categories
AGENDA NASIONAL

Polis kesan wanita menyusup masuk kawasan PKPD

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Polis sedang mengesan seorang wanita yang disyaki menyusup masuk melalui dawai besi di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dekat Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas sebuah video insiden itu yang dirakam orang awam tular di media sosial.

“Hasil siasatan mendapati wanita yang memakai baju gelap dan seluar putih itu memasuki kawasan berkenaan untuk melawat neneknya.

“Usaha untuk mengesan wanita yang dipercayai tinggal di Puchong sedang giat dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata saksi awam yang memuat naik video itu di media sosial mengaku merakam video insiden berkenaan berdurasi 30 saat petang semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa- apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

– BERNAMA