Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

PPV Dewan Serbaguna MBSJ bantu singkat perjalanan penduduk

SHAH ALAM, 22 JULAI: Pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya, Puchong Indah membantu memendekkan jarak perjalanan penduduk mendapat suntikan pelalian.

Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han berkata sebelum ini penduduk Puchong perlu ke PPV Sunway Pyramid di Subang Jaya dan ada keperluan menyediakan pusat vaksin sendiri berikutan kepadatan penduduk.

“PPV ini akan mula beroperasi Isnin depan dan mampu menampung antara 1,000 hingga 1,500 orang dalam satu-satu masa.

“Pemberian vaksin akan dibuat melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 25 Jun, EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud meminta Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) mewujudkan PPV berskala kecil di Puchong bagi memudahkan penduduk mendapatkan suntikan vaksin.

Beliau berkata ramai penduduk sekitar khususnya warga emas gagal menghadiri janji temu kerana kawasan ditetapkan jauh dari kediaman masing-masing.

Selangor menyasarkan jumlah pemberian vaksin harian negeri mencecah ke tahap 300,000 dos sehari menjelang hujung bulan ini.

Jumlah itu hasil Program Vaksin Selangor (Selvax), Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), dan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas).

Program Selvax merupakan pelengkap kerangka PICK. Menerusi Selvax Komuniti, seramai 250,000 rakyat negeri ini yang belum divaksin mendapat manfaat membabitkan 500,000 dos.

Sebanyak dua juta dos vaksin pula disediakan kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.