Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan meningkat 32 peratus punca kes melonjak lebih 11,000

SHAH ALAM, 13 JULAI: Jumlah saringan yang semakin banyak dalam tempoh seminggu antara 6 hingga 12 Julai punca angka jangkitan melonjak kepada 11,079 kes hari ni, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata saringan dalam tempoh tersebut berjumlah 825,373 ujian atau 32 peratus lebih banyak daripada minggu sebelumnya yang hanya 624,645 ujian.

“Peningkatan sebanyak 32 peratus dapat dilihat antara julat masa (dua minggu) tersebut,” katanya dalam laporan harian Covid-19.

Angka jangkitan wabak ini semakin meningkat mulai 7 Julai dengan 7,097 kes dan terus meningkat kepada paras antara 8,500 hingga 9,300 kes selama lima hari.

Dalam tempoh tersebut, Selangor turut merekodkan jumlah tertinggi kes Covid-19 sehingga 5,263 kes hari ini, sementara Kuala Lumpur melonjak kepada 1,521 kes.

“Beberapa negeri yang mempunyai kadar kepositifan kes COVID-19 melebihi 10 peratus bagi tempoh tujuh hari berturut-turut dibenarkan untuk menjalankan ujian RTK-Ag sebagai pengesahan kes seperti beberapa daerah di Selangor dan semua daerah di Kuala Lumpur,” katanya lagi.

Pada 8 Julai, Dr Noor Hisham menjangka peningkatan jumlah kes di dua negeri itu susulan pertambahan saringan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sekarang.

Sejak penularan wabak, jumlah tertinggi dilaporkan pada 10 Julai dengan 9,353 kes, seminggu selepas pelaksanaan PKPD.

PKPD dikuat kuasa di Selangor membabitkan 34 mukim di lapan daerah bermula 3 hingga 16 Julai. Sebanyak 14 kawasan di Kuala Lumpur turut dikenakan arahan sama dalam tempoh tersebut.