Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor catat 46 kematian Covid-19, dua babit warga asing

SHAH ALAM, 12 JULAI: Sebanyak 46 daripada 102 kes kematian akibat Covid-19 hari ini dilaporkan di Selangor, kata ketua pengarah kesihatan.

Menerusi data dikongsikan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, semua kes melibatkan individu berusia 34 hingga 86 tahun termasuk dua wanita warga asing masing-masing berusia 46 dan 49 tahun.

Menurutnya, sembilan daripada yang terkorban itu tidak memiliki latar belakang berpenyakit selain enam kematian dicatatkan sebelum tiba di hospital (BID).

Dr Noor Hisham memaklumkan kes kematian turut direkodkan di Kuala Lumpur (16), Negeri Sembilan (14), Pahang (tujuh), Johor (enam), Kedah dan Melaka (tiga), Sabah dan Pulau Pinang (dua) manakala satu kes di Kelantan, Perak dan Sarawak.

Hari ini, negara mencatatkan penurunan kes Covid-19 kepada 8,574 jangkitan selepas merekodkan lebih 9,000 kes empat untuk hari berturut-turut.

Selangor kekal merekodkan angka tertinggi dengan 4,308 kes, sedikit menurun berbanding 4,682 semalam.