Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor lulus RM1.2 juta untuk 280 peniaga beralih konsep maya

SHAH ALAM, 6 JULAI: Selangor meluluskan dana RM1.2 juta melalui Geran Padanan Digitalisasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi membantu peniaga beralih daripada konsep fizikal kepada maya.

EXCO industri kecil dan sederhana berkata jawatankuasa penilaian khas geran telah meluluskan 280 daripada 492 permohonan untuk kumpulan pertama yang diterima pada April hingga pertengahan Jun.

“Bilangan permohonan selari sasaran kami untuk memanfaatkan 1,000 PKS pada tahun ini,” kata Dato’ Teng Chang Khim di sini hari ini.

Beliau turut mengajak usahawan PKS yang terlepas mendaftar dalam kumpulan pertama supaya berbuat demikian apabila permohonan dibuka pada 1 Ogos depan.

Geran tersebut dilancarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 12 April untuk membantu PKS melakukan transformasi digital.

Sebanyak RM5 juta diperuntuk bagi manfaat 1,000 peniaga kecil dengan jumlah bantuan antara RM1,000 hingga RM5,000.

Lima bidang pendigitalan yang ditawarkan ialah e-dagang, sistem sumber manusia, sistem akaun, pemasaran digital dan sistem Electronic Point of Sale (e-PoS) dan gerbang pembayaran.