Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor rancang ekonomi jangka panjang, bantu rakyat terkesan Covid-19

SHAH ALAM, 4 JULAI: Kerajaan Selangor merancang untuk membangunkan ekonomi jangka panjang pada tahun hadapan bagi membantu rakyat terkesan Covid-19, kata dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketika ini pihaknya sedang meneliti segala anggaran perbelanjaan sepanjang 2022 dan akan mengumumkannya hujung tahun ini.

“Sejak Mac 2020 Selangor telah lancarkan lima pakej rangsangan, tidak termasuk belanjawan tahunan.

“Usaha terbaharu adalah Pakej Kita Selangor 2.0 bagi membantu individu atau mana-mana pihak yang terkesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya menerusi wawancara ekslusif bersama The Star.

Awal Jun lalu, Amirudin mengumumkan Pakej Bantuan Kita Selangor 2.0 bertemakan ‘Bersama-sama Menuju Kejayaan’ bernilai RM551.56 juta yang bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat Selangor.

Pada Mac tahun lepas, Kerajaan Selangor mengumumkan pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin bernilai RM127.78 juta diikuti fasa kedua pada 1 April bernilai RM272 juta.

Pelan pemulihan ekonomi negeri sebanyak RM55.8 bilion nilai ekonomi dibentang pada 13 Julai diikuti Pakej Kita Selangor berjumlah 73.8 juta pada 20 Januari tahun ini.