Categories
AGENDA NASIONAL

Selepas Agong ‘amat dukacita’ isu darurat, Dr Mahathir dakwa PM ‘tipu’ Parlimen

SHAH ALAM, 29 JULAI: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa perdana menteri “menipu” Parlimen setelah Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita isu pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Baginda.

“Titah Yang di-Pertuan Agong hari ini menunjukkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sengaja berbohong kepada Parlimen berhubung pembatalan Ordinan-ordinan Darurat,” kata ahli parlimen Langkawi dalam kenyataan hari ini.

Bekas perdana menteri berkata Muhyiddin tidak cuba membetulkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung pembatalan darurat pada sidang khas Isnin lalu.

“(Muhyiddin juga) tidak menahan Takiyuddin daripada terus berucap walau duduk di depannya. Muhyiddin juga tidak membuat penjelasan pada hari-hari persidangan berikutnya,” kata Dr Mahathir lagi.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan rasa “amat dukacita” dengan pembatalan tersebut yang diumumkan oleh menteri itu tanpa perkenan Baginda seperti ditetapkan Perlembagaan.

“Perkara 150(2B) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda,” kata kenyataan Istana Negara hari ini.

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pad 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan Baginda.”

Baginda turut menzahirkan rasa “amat dukacita” berhubung titah pembatalan semua ordinan berkenaan mestilah dibentang dan dibahaskan di Parlimen seperti persetujuan dalam majlis menghadap secara maya pada 24 Julai.

Menurut kenyataan istana lagi, majlis menghadap dua hari sebelum sidang khas Dewan Rakyat awal minggu ini disertai Takiyuddin, yang mengendali hal-ehwal Parlimen dan perundangan, bersama Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Ketika sidang khas itu bermula, Takiyuddin tiba-tiba memaklumkan semua ordinan tersebut telah dibatalkan pada 21 Julai. Namun semua pihak termasuk ahli-ahli Parlimen terkejut dengan kenyataan tersebut yang dibuat tanpa warta atau hebahan umum.

Dalam kenyataan sama, Dr Mahathir juga mendesak perdana menteri bersama seluruh anggota kabinet bertanggungjawab atas tindakan mereka di Parlimen yang disifatkannya “memalukan” dan meletakkan jawatan.