Categories
AGENSI SELANGOR

Sidec: 90 syarikat berjaya bangun produk, tingkat aspek pengurusan

SHAH ALAM, 27 JULAI: Sebanyak 90 syarikat pemula berjaya dipupuk menerusi Program Pemecut Selangor (SAP) sejak diperkenalkan pada 2018.

Ketua pegawai eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) berkata pihaknya bukan sahaja menberi tumpuan menggilap syarikat tersebut dari aspek pembangunan produk tetapi juga pengurusan.

“Sebagai contoh syarikat berasaskan teknologi pertanian akan ditempatkan di agensi berkaitan untuk membantu melakukan ujian selanjutnya dan sekali gus memberi peluang sama ada produk diterima agensi dalam operasi mereka,” kata Yong Kai Ping.

Beliau berucap pada sidang media secara maya sempena pelancaran SAP 2021 melalui aplikasi Zoom hari ini yang dirasmikan EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim.

Katanya, daripada 90 syarikat tersebut, 43 peratus daripadanya telah menerima dana menerusi program berkenaan.

Sementara itu, sebanyak 30 syarikat pemula dipilih menyertai SAP 2021 yang terdiri daripada perniagaan berkaitan teknologi pertanian, teknologi perbankan, teknologi hijau, e-dagang dan perbandaran pintar.

Program ini dinilai panel hakim iaitu 70 peratus skor penilaian untuk peserta manakala 30 peratus lagi merangkumi prestasi dan kehadiran mereka sepanjang program berlangsung.

Lima syarikat terbaik berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan beberapa faedah tambahan lain.