Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

SOP solat sunat Aidiladha diputuskan esok – EXCO

SHAH ALAM, 15 JULAI : Tatacara operasi piawai (SOP) pelaksanaan solat sunat Aidiladha akan diputuskan esok, kata EXCO Hal Ehwal Agama Islam.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata kemungkinan SOP sama digunakan seperti solat sunat Aidilfitri lalu, namun ia bergantung pada keadaan semasa.

“Esok kita akan putuskan SOP solat sunat Aidiladha. Mungkin akan kekal solat di rumah masing-masing selepas mengambil kira banyak faktor kes Covid-19 yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Sumbangan Pek Keperluan Dapur untuk penduduk Taman Sri Andalas di Restoran D’Rakit Taman Rakyat, di sini, hari ini.

Mengikut ketetapan sebelum ini, seramai 20 dan 50 jemaah dibenarkan bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri, Jumaat dan fardu lima waktu mengikut kapasiti maksimum masjid serta surau di Selangor.