Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Tiga lagi pusat vaksin dibuka, Selangor sasar 135,000 suntikan sehari

BANGI, 11 JULAI: Tiga pusat pemberian vaksin (PPV) yang mampu memberi suntikan antara 3,000 hingga 5,000 sehari beroperasi di tiga daerah mulai esok.

Dato’ Menteri Besar berkata PPV itu terletak di Hotel Wyndham, Klang; Dewan Tun Abdul Razak, Sabak Bernam dan Bukit Beruntung Golf & Country Club, Hulu Selangor.

“Pembukaan PPV ini mampu membantu Selangor mencapai sasaran 135,000 suntikan sehari, sekarang suntikan vaksin di Selangor baru cecah 92,000 sehari.

“Kita ingatkan pegawai terlibat untuk berusaha mencapai sasaran ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bangi Avenue Convention Centre (BACC).

Sementara itu, Pengurus PPV BACC, Dr Mahani Pardan berkata seramai 18,000 individu menerima suntikan vaksin sejak beroperasi pada 5 Julai lalu.

“Kita menggunakan keseluruhan ruang pusat konvensyen ini dengan seramai 135 petugas dan 50 individu ditugaskan setiap hari,” katanya.