Categories
AGENDA NASIONAL

Varian Delta boleh merebak dalam 15 saat – Dr Noor Hisham

SHAH ALAM, 15 JULAI: Varian baharu Delta boleh merebak dalam tempoh 15 saat melalui udara sekali gus meningkatkan risiko jangkitan terhadap komuniti, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perebakan pantas itu menyebabkan kes Covid-19 dalam negara mencatat peningkatan bermula 26 Jun lalu.

“Kadar kebolehjangkitan (Rt) biasa adalah 2.5 hingga 3.0 tetapi varian Delta lebih tinggi iaitu antara 5 hingga lapan 8. Ini bermakna jika 100 orang dijangkiti, dalam masa terdekat boleh menjangkiti 500 hingga 800 orang.

“Sifat virus ini berubah, kalau dulu kes kontak rapat yang terdedah adalah dalam 15 minit atau kurang satu meter tetapi ini (varian delta) boleh berlaku dalam 15 saat sahaja melalui udara,” katanya pada sidang media hari ini.

Susulan itu, beliau menasihatkan orang ramai terus mengamalkan langkah pencegahan antaranya pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan.

“Orang ramai perlu mengelak tempat sesak kerana kalau ada jangkitan berlaku di tempat sempit yang mana pengudaraan kurang baik, ia boleh mempercepat jangkitan.

“Masyarakat juga perlu tampil ke depan mendapatkan vaksin kerana vaksin cara kita membendung dan mengawal penularan dalam komuniti,” katanya lagi.